By Deegun Rahman
Bernaung di bawah syarikat rakaman KRU Music, DJ Fateh menunjukkan minat mendalam terhadap muzik rap dan hip hop.
Lebih menarik, jejaka yang berasal dari Istanbul, Turki itu mampu bertutur dalam bahasa Melayu sementelah 11 tahun menetap di Kota Bharu, Kelantan.
DJ Fateh atau nama sebenarnya Fatih Imamoglu, 28, berkata, disebabkan sudah lama tinggal di Malaysia dan bergaul dengan rakyat tempatan, timbul minat untuk mendalami bahasa Kebangsaan.
“Lebih sedekad di sini (Kelantan), jujurnya pertuturan saya lebih kepada dialek tempatan. Akan tetapi, saya masih boleh memahami bahasa Melayu secara amnya.
“Sejak kecil, saya memang minat dengan muzik hip hop dan rap. Ketika mula sampai di Malaysia, setelah mendengar lagu-lagu rap di sini, hati saya tertarik.
“Itulah yang mendorong saya belajar bahasa Melayu supaya mudah untuk menghafal dan menyanyi lagu artis rap Malaysia,” katanya kepada Boom!.
Mengulas lanjut pembabitannya menerusi lagu Rise Up bersama Tyco dan Roman, peluang diberikan merupakan satu pengalaman baharu dan berharga buatnya.
Tambah DJ Fateh, kali pertama dia terbabit dalam pembikinan lagu kempen Kita Jaga Kita terbitan KRU Music yang dinyanyikan beramai-ramai, 11 penyanyi kesemuanya.
“Jadi, ini adalah projek kedua yang membabitkan penampilan saya secara rasmi selaku artis rakaman KRU Music,” katanya.
Menyingkap semula detik permulaan, jejaka mat salih itu tidak menjangka videonya sedang menyanyi rap yang dimuat naik di laman media sosial menarik minat bos KRU Music, Datuk Norman Abdul Halim.
“Selepas beliau mendengar nyanyian rap saya, terus dilamar bernaung di bawah label miliknya dan Rise Up merupakan projek kedua.
“Rise Up adalah karya ciptaan Si8 atau Syed Hazriq yang juga anak saudara trio KRU. Lagu ini dihasilkan bagi tujuan menyuntik semangat kepada pendengar di era pandemik Covid-19,” jelasnya. – BOOM!