By Hanisah Selamat
CYBERJAYA – Mesej yang diterima daripada Edry Abdul Halim menjadi titik tolak yang menjentik hati penyanyi Aweera kembali berjuang bersama Mojo selepas lapan tahun keluar dari kumpulan itu.
Katanya, tidak timbul isu merajuk hingga membawa diri seperti didakwa sesetengah pihak, sebaliknya dia dalam pengembaraan mencari pengalaman.
“Edry ada tinggalkan komen dalam video persembahan membuatkan dari situ timbul hasrat untuk kami meneruskan semula misi Mojo yang tertangguh sejak bertahun-tahun.
“Sebelum ini pun kami masih berhubung dan bertanya khabar, tapi orang luar tak tahu. Bukanlah merajuk macam dikatakan pihak tertentu kerana saya pun tak menghilang cuma boleh dianggap mengembara sekejap.
“Apabila Edry serius dengan misi ‘comeback’ Mojo dan mempelawa saya mengambil kembali posisi vokalis, saya tak tolak apabila merasakan ini waktu tepat buat kami tampil bersama produk baharu di persada muzik,” katanya ketika ditemui di KRU Music, semalam.
Selain Edry dan vokalis berusia 32 tahun itu, perjuangan kumpulan yang ditubuhkan pada 2012 tersebut turut membariskan anggota asal iaitu Johar serta Danny.
Mengakui DNA band yang popular dengan lagu Romancinta itu cukup kental melatari imejnya, Aweera akui masih ramai yang mahu melihat dia kembali beraksi selaku tunjang Mojo.
Sudah tentu sedikit sebanyak pemilik nama sebenar Nasharul Aweera Norhissham itu merindui detik bersama rakan seperjuangan apatah lagi mendapat galakan peminat.
“Banyak kenangan kami bersama-sama. Apabila menjayakan persembahan solo, peminat akan minta lagu Mojo seperti Romancinta dan Andai Ku Bercinta Lagi,” dedahnya.
Menyentuh mengenai kontroversi yang pernah melanda ketika bersama Mojo, katanya, sebagai insan tidak sempurna segala isu yang berlaku dianggap sebagai proses pembelajaran yang mematangkan.
Tambah bintang yang digilap daripada pertandingan anjuran stesen televisyen itu, ketika insiden tersebut dirinya masih dalam lingkungan usia 20-an.
“Waktu itu mungkin apa saja isu yang berlaku disebabkan darah muda. Iyalah baru berumur 20-an, tetapi sekarang saya sudah matang dalam membuat pertimbangan.
“Setiap insan pasti melalui transisi kehidupan, begitu juga saya yang yakin dengan jalan ini. Terima kasih kepada Edry dan rakan Mojo yang lain,” ujarnya.
Terdahulu, sekitar 2015 berlaku kejutan pada Anugerah Juara Lagu 29 (AJL29) apabila posisi Aweera sebagai penyanyi diambil alih Azmi Caliph Buskers bagi menyampaikan lagu Romancinta. – KOSMO! ONLINE