By Zulqarnain Abu Hassan
KUALA LUMPUR: Sedar memerlukan pertumbuhan sihat dalam ekonomi industri muzik, label ternama KRU Muzik telah menandatangani perjanjian strategik bersama Warner Muzik dan anak syarikatnya ADA Asia.
Selaku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KRU Muzik , Datuk Norman Abdul Halim berkata, penstriman video dan muzik menyumbang kepada sebahagian besar pendapatan label muzik, maka model pengedaran ‘lakukan sendiri’ (DIY) oleh label dan artis independen tidak semestinya berkesan.
“Menerusi kerjasama ini, KRU dan artis kami boleh memanfaatkan saiz dan kekuatan Warner dalam kaedah penstriman muzik sentiasa ada. Ini akan memberikan kami lebih banyak masa dan tenaga untuk fokus kepada aspek-aspek lain seperti penerbitan lagu, video dan berinteraksi dengan peminat kami,” ujarnya yang memeterai perjanjian untuk tempoh tiga tahun.
Mengulas lebih lanjut kerjasama itu, Norman mengakui KRU Muzik yang selama 25 tahun ini bekerja secara sendiri tanpa kerjasama luar dan dia berharap nafas baharu ini akan memberikan lebih banyak peluang optimis.
Sebagaimana Norman, Pengarah Urusan Warner Muzik Malaysia, Darren Choy, turut menyambut baik hasrat KRU Muzik.
“Saya telah menyaksikan sendiri bagaimana KRU muzik merevolusikan industri muzik tempatan dengan lagu-lagu yang inovatif dan berimpak besar daripada artis-artis yang hebat.
“Dengan pendigitalan perniagaan kami, kerjasama ini berpotensi besar untuk merombak semula industri muzik tanah air. Komitmen kami bukan sekadar pengedaran muzik semata-mata tetapi juga akan melibatkan pelbagai projek dan inisiatif lain,” katanya.
Sementara itu, bagi pemasaran dan pengedaran muzik artisnya di serata dunia khususnya di Asia Tenggara, pengarahnya, Chee Meng Tan memberitahu, ADA dapat membantu menghubungkan artis-artis mereka yang berbakat ini dengan pendengar di seluruh rantau Asia dan di serata dunia.
Pada sidang media di pejabat Warner Muzik itu, KRU Muzik turut memperkenalkan empat penyanyi baharu iaitu Timur, DJ Fateh, Fai Ramli dan Dian Hashim.