Penjual nasi berlauk jadi penyanyi

By Nur Emira Saizali

Siapa sangka seorang peniaga warung nasi berlauk tepi jalan di Damansara kini bergelar penyanyi bawah naungan syarikat rakaman KRU Music.

Fai Ramli atau nama penuhnya Muhamad Faizal Ramli kini hadir dalam industri seni tanah air mempertaruhkan single terbaharunya, Cintamu Kekuatanmu.

Berbicara mengenai naskhah terbaharunya itu, Fai memberitahu, jalan cerita Cintamu Kekuatanmu ialah tentang pasangan yang mempertahankan cinta mereka.

“Kekuatan lagu ini terletak pada liriknya yang bagi saya sangat mendalam dari segi mesej. Lagu ini mampu membuai jiwa setiap pendengar.

“Apabila liriknya sudah kuat, saya cuba sebaik mungkin untuk menterjemahkannya menerusi emosi dan vokal. Jadi itulah yang sebab mengapa semua perlu mendengarnya,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Menurut Fai, lagu ciptaan Neo itu mengambil masa satu hari sahaja untuk sesi rakaman.

“Semuanya berjalan lancar dan dipermudahkan. Saya amat bersyukur. Proses rakaman memakan masa selama satu hari saja.

“Apa pun yang lebih mencabar bagi saya ialah proses rakaman muzik video lagu ini yang memakan masa dua hari kerana saya perlu berlakon dan karakter yang dibawakan pula sebagai suami orang,” katanya. 

Bercerita pula mengenai rujukannya dalam muzik, Fai mengakui banyak menjadikan penyanyi dari Indonesia sebagai rujukan dalam bidang nyanyian.

Antara penyanyi Indonesia yang diminati dan dijadikan rujukannya ialah Afgan, Judika dan Cakra Khan.

“Ya, saya akui memang jadikan penyanyi Indonesia sebagai rujukan dan nyanyian saya juga dipengaruhi oleh mereka.

“Judika mempunyai julat vokal yang tinggi. Apabila mendengar nyanyiannya, saya rasa sesiapa sahaja boleh rasa tercabar dengan kemampuan dia. Kalau Judika boleh buat begitu, saya pun pasti mampu lakukan perkara yang sama.

“Saya dapati kebanyakan penyanyi dari negara jiran yang popular dalam industri muzik tempatan mengetengahkan genre balada dan muzik itu kena dengan jiwa saya,” katanya.

Menariknya juga, lunak vokal penyanyi kelahiran Selangor yang berusia 27 tahun itu kedengaran mirip tona suara penyanyi dari Indonesia. 

TikTok

Sebagai artis baharu, Fai masih mencari platform yang sesuai untuk mengetengahkan dirinya kepada dunia hiburan secara lebih luas.

Mengakui bukan mudah untuk mencipta nama, Fai mengambil inisiatif dengan banyak merakam video sebagai kandungan akaun TikTok miliknya.

Ujarnya, platform media sosial popular tersebut semakin menjadi trend bagi penduduk dunia khususnya golongan muda.

“Tak dinafikan, TikTok menjadi salah satu platform untuk saya memperkenalkan diri, di samping mengetengahkan bakat yang dimiliki kepada umum.

“Daripada situ, sekurang-kurangnya saya dapat membuatkan orang lebih mengenali dan mengetahui kewujudan saya dalam industri hiburan tanah air,” katanya.

Tambah Fai, sehingga kini dia cuba dan mencabar dirinya untuk menyampaikan sesebuah lagu sebaik artis-artis sedia ada.

“Saya akan sentiasa merakam lagu saduran dan mengaktifkan diri dalam media sosial seperti Twitter dan YouTube.

“Apa pun, saya akan terus berusaha untuk memastikan nama saya akan terpahat dalam industri untuk angka masa yang panjang dan bakat saya terus diingati ramai,” katanya penuh harapan.