By Asraf Aided
Label independen terkenal, KRU Music telah menandatangani perjanjian strategik bersama Warner Music dan anak syarikatnya yang menyediakan perkhidmatan label dan artis bebas, ADA, bagi pemasaran dan pengedaran muzik artisnya di serata dunia khususnya di Asia Tenggara.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KRU Music, Datuk Norman Abdul Halim, kekuatan Warner Music mampu memudahkan carian muzik mereka di platform digital.
“Kami tak ada platform penstriman sebanyak yang Warner Music ada, mereka ada lebih kurang 400 platform penstriman seluruh dunia.
“Sekarang bukan lagi zaman orang beli CD seperti dulu, bagi saya, artis yang ada lagu di Spotify dan YouTube sudahpun menjadi artis global, tapi macam mana nak buat orang jumpa lagu kita?
“Oleh sebab itu, kami perlukan kekuatan yang ada pada Warner untuk memudahkan carian lagu lagu kami di platform penstriman,” katanya.
Norman berkata demikian ketika ditemui di majlis pengumuman kerjasama KRU Music bersama Warner Music dan anak syarikatnya, ADA di pejabat urusan Warner Music Malaysia petang semalam.
Tambah Norman, kerjasama itu juga akan berpotensi untuk membuka lebih peluang kepada artis lain di Malaysia pada masa akan datang.
“Sebagai permulaan, kami masih menumpukan perhatian pada lagu-lagu di peringkat tempatan, kami berharap akan ada banyak peluang.
“Kalau projek ini berjaya, kita akan buka lebih lagi peluang untuk artis-artis tempatan.
“Kita harus ambil contoh syarikat rakaman atau label di Korea, mereka berjaya mempromosikan artis mereka di peringkat global walaupun menggunakan bahasa mereka sendiri.
“Jadi kita harus cari acuan kita sendiri kerana prospek sudah ada memandangkan saiz pasaran dari segi penduduk pun lebih kurang sama dengan negara kita,” katanya lagi.
Pada sidang media pengumuman kolaborasi itu, KRU Music turut memperkenalkan barisan artis baru dibawah naugan mereka iaitu Dian Hashim, Fai Ramli, DJ Fateh dan Timur.
Fokus utama KRU Music kini tertumu kepada genre ‘dance’, hip-hop dan pop manakala bagi genre muzik yang lain akan dikeluarkan oleh pelbagai sub-label yang baru dibawah pengurusan mereka.