By Abang Dee
Hampir sembilan tahun mencorakkan karier secara solo, Aweera akui merindui momen-momen manisnya sewaktu bersama kumpulan Mojo suatu ketika dahulu.
Namun tidak disangka-sangka, kerinduan yang dirasainya sekian lama akhir terubat apabila dia membuat keputusan untuk kembali ke pangkuan kugiran yang diasaskan oleh Edry Abdul Halim itu.
“Saya sudah tidak bersama Mojo lebih kurang sembilan tahun. Namun, sampai sekarang peminat masih lagi memanggil saya dengan nama Aweera Mojo.
“Terus terang saya katakan, saya sangat rindukan Mojo kerana terlalu banyak detik indah bersama mereka,” akuinya.
Jelas Aweera, dia berbesar hati menerima pelawaan Edry untuk kembali sebagai vokalis, selain menyifatkan waktu paling tepat menghidupkan semula kumpulan yang pernah menaikkan popularitinya.
“Ada yang anggap saya merajuk selama ini, tetapi sebenarnya kehilangan itu kerana saya mahu ‘mengembara’ seketika.
“Hakikatnya, tak mampu saya nafikan rasa rindu terhadap Mojo amat-amatlah mendalam kerana terlalu kenangan indah bersama mereka,” ujarnya.
Penyanyi berusia 32 tahun itu memberitahu, sudah setahun lebih dia berbincang dengan Edry untuk bersatu semula dengan kumpulan yang turut dianggotai Denny dan Johar itu.
“Saya juga ada memuat naik pukul berapa hantaran berupa gambar lama bersama Mojo. Maklum balas daripada penyokong dan peminat juga memberangsangkan.
“Kebanyakan mereka mahukan barisan anggota asal terus maju. Jadi, Edry berkata, sekiranya Denny dan Johar bersetuju, apa salahnya jika kami bersatu semula,” katanya.
Pada masa sama, sempena penyatuan mereka, Mojo tampil dengan single terbaharu berjudul Superstar bagi mengubati kerinduan peminat.
Bahkan mereka sempat memperkenalkan video muzik Superstar arahan Syahmi Afif yang akan dilancarkan secara rasmi pada 24 Februari ini di saluran YouTube KRU Music dan Mojo. – BOOM!