By Cema Cempaka
Penyanyi, Aweera kini kembali beraksi sebagai vokalis kumpulan Mojo bersama Edry, Johar dan Denny selepas lapan tahun meninggalkan kumpulan tersebut.
Keputusan bersatu semula itu tercetus selepas ketua kumpulan Mojo, Edry Abdul Halim meninggalkan komen pada hantaran Instagram Aweera yang merupakan gambar-gambar lama Mojo dahulu.
Sejurus sahaja membaca komen tersebut, Aweera terus menghubungi Edry dan disitulah idea untuk Mojo kembali bersama ahli-ahli asal bermula.
“Sebenarnya, saya dan Edry sudah berbincang sejak tahun lalu lagi. Seperti yang dia beritahu, saya pernah menghubunginya menerusi DM (Direct Message),” kata Aweera.
Menurut bekas peserta Gegar Vaganza 8 itu, pemergian Aweera selama lapan tahun itu bukanlah disebabkan merajuk seperti yang disangka oleh orang ramai namun menurutnya ia merupakan satu pengembaraan untuk dia mencari pengalaman.
“Saya dan Mojo sebenarnya masih berhubung dan bertanya khabar cuma orang luar tak tahu. Bukan merajuk seperti mana yang orang sangka sebab saya tak menghilang cuma pergi mengembara sekejap.
“Saya tak tolak apabila dipelawa oleh Edry untuk kembali sebagai vokalis Mojo kerana bagi saya ini merupakan waktu yang tepat untuk kami tampil bersama dengan karya baru di persada muzik.
“Terus-terang, saya memang merindui Mojo. Malah, peminat mengenali saya menerusi kumpulan ini. Insya-Allah, tidak ada merajuk-rajuk lagi,” jelas Aweera.
Sempena kemunculan semula Mojo bersama anggota asal, kumpulan ini tampil dengan single terbaru berjudul Superstar yang akan dilancarkan pada 24 Februari ini.