Aweera kembali ke pangkuan Mojo, lancar single Superstar

By URTV

KUMPULAN Mojo tidak asing lagi dalam dunia hiburan tempatan. Kumpulan rock moden Malaysia/Indonesia ini yang ditubuhkan pada tahun 2012 telah memenangi pelbagai anugerah dan terkenal dengan lagu seperti Andai Ku Bercinta Lagi, Romancinta dan Dahsyat.

 

“Kami amat berbesar hati untuk mengumumkan bahawa kumpulan Mojo telah bergabung semula dengan mengekalkan barisan asalnya iaitu Edry, Aweera, Johar dan Denny menerusi EP terbaru mereka berjudul Superstar.

“Mojo juga bakal mengadakan konsert solo sulung mereka pada penghujung 2023,” ujar Datuk Norman Abdul Halim, Ketua Pegawai Eksekutif, KRU Music Sdn Bhd.

Peminat dijanjikan dengan DNA muzik asal Mojo yang diperkasakan dengan melodi memukau, lirik puitis, persembahan vokal yang mantap, rif gitar berirama dan rentak drum yang agresif digabungkan dengan alunan “synthesizer” serta “live strings” yang mengetengahkan tema heavy modern “Rockestra.” tambah Norman lagi.

Superstar yang juga merupakan judul single pertama daripada EP ini adalah sebuah lagu rock moden yang secara sinis mengisahkan tentang perjuangan dan impian bintang baru yang ingin untuk menjadi popular dalam industri muzik.

Lagu ini adalah ciptaan sepenuhnya oleh Edry Abdul Halim manakala video muzik diarahkan oleh Syahmi Afif.

“Walaupun kami kini mempunyai kerjaya dan sibuk dengan kehidupan masing-masing, perasaan rindu untuk bekerjasama sebagai sebuah kumpulan muzik dan bertemu peminat amat dirasai.

“Begitu pantas lebih lima tahun telah berlalu, dan sebelum Mojo hilang daripada ingatan peminat, kami rasakan ini masa yang terbaik untuk bergabung semula dengan semangat baru.


“Kami sangat teruja dengan EP yang mengandungi empat lagu ini serta perancangan KRU Music. Kami sedia memberi komitmen 100 peratus.” kata Johar, pemain drum Mojo.

Menurut Edry selaku komposer utama dan pemain keyboard Mojo, dengan kemudahan teknologi, tiada masalah baginya untuk aktif semula dengan Mojo walaupun masih menetap di Manchester.

“Kini terdapat pelbagai platform untuk saya berkomunikasi dan berinteraksi secara digital bersama kumpulan Mojo dan terutama sekali bersama peminat di media sosial.

“Walaupun tidak mungkin saya dapat hadir kesemua aktiviti pentas dan promosi Mojo, saya akan tetap cuba meluangkan masa untuk kembali ke Malaysia bagi persembahan televisyen atau pentas utama sekiranya mendapat peluang,” ujarnya.

Superstar sangat istimewa kerana lagu ini adalah lagu pertama yang Mojo rakamkan setelah lebih sembilan tahun Aweera dan Mojo berpisah.

Lagu Superstar juga adalah lagu rancak yang bertenaga yang dapat dijadikan sebagai lagu tema (anthem) untuk “comeback” bagi Mojo.

“Saya berharap Mojo akan terus bersemangat untuk berkarya agar dapat memeriahkan industri muzik di Malaysia dan Indonesia.

“Seperti dalam lirik Superstar. “…jangan tua tunggu mati, impian tak dikecapi” begitu juga hendaknya kita semua menjalani hidup,” kata Denny yang bertindak sebagai gitaris.

Sementara, Aweera menyifatkan kembalinya dia dalam Mojo adalah sebagai satu perjuangan dalam legasi rock.

“Saya mula dikenali menerusi lagu-lagu Mojo dan Superstar adalah buah tangan untuk penyokong-penyokong Mojo yang tidak jemu menyokong kami dari awal kemunculan sehingga kini.

“Saya juga amat berterima kasih kepada pihak KRU Music di atas kepercayaan dan peluang yang diberikan kepada saya dan Mojo untuk terus berkarya,” jelasnya.

Single Superstar akan dikeluarkan secara rasmi di kesemua platform penstriman digital pada 24 Februari ini sementara video muziknya akan ditayangkan di saluran YouTube KRU Music dan Mojo jam 8 malam pada hari yang sama.

Untuk maklumat lanjut mengenai MOJO, sila layari dan like akaun YouTube, Instagram, Tik Tok, Facebook, Telegram dan Twitter MOJO.