By Syafil Syazwan Jefri
Cyberjaya: Penyanyi, Aweera yang juga penyanyi kumpulan Mojo mengakui rindukan detik indah bersama kumpulan itu.
Selepas lapan tahun, Aweera kini kembali bersatu dengan kumpulan rock itu sekali gus mahu meneruskan legasi rock dalam industri muzik tanah air.
“Saya sudah tidak bersama Mojo lebih kurang lapan tahun. Namun, masyarakat masih lagi mengenali nama Aweera melalui Mojo itu sendiri.
“Terus terang saya katakan, saya merindui Mojo kerana terlalu banyak detik indah bersama mereka,” katanya.
Menurut Aweera, dia sudah berbincang dengan Edry Abdul Halim sejak tahun lalu lagi untuk bersatu semula dengan kumpulan yang dianggotai mereka bersama Denny dan Johar itu.
“Sebenarnya, saya dan Edry sudah berbincang sejak tahun lalu lagi. Seperti yang dia beritahu, saya pernah menghubunginya menerusi DM (Direct Message).
“Saya juga ada memuat naik pukul berapa hantaran berupa gambar lama bersama Mojo. Maklum balas daripada penyokong dan peminat juga memberangsangkan.
“Kebanyakan mereka mahukan barisan anggota asal terus maju. Jadi, Edry berkata, sekiranya Denny dan Johar bersetuju, apa salahnya jika kami bersatu semula,” katanya.
Dalam pada itu, Aweera menyifatkan kontroversi membabitkan dia bersama Mojo dulu adalah proses pembelajaran buatnya.
“Apa yang berlaku sebelum ini adalah masa lalu dan saya anggap itu sebagai proses pembelajaran ketika usia saya masih lagi dalam lingkungan 20-an.
“Apabila kami kembali semula bersatu, Alhamdulillah kematangan itu terpahat dalam diri saya. Insya-Allah di masa akan datang, saya akan lebih fokus dan matang,” katanya.
Pada 2015, muncul kontroversi apabila Mojo dikatakan goyah, sekali gus tempat Aweera sebagai penyanyi digantikan Azmi Caliph Buskers ketika menyampaikan lagu Romancinta di pentas Anugerah Juara Lagu 29 (AJL29).
Terbaharu, Mojo muncul dengan single berjudul Superstar dan bakal mengadakan konsert sulung mereka pada penghujung tahun ini.