Roman mahu rakyat Malaysia segera bangkit

By Serimah Mohd Sallehuddin

Roman sampaikan mesej menerusi single Rise Up menyeru masyarakat bangkit selepas kecundang angkara COVID-19. - Foto Ihsan KRU Music

KUALA LUMPUR: Berdepan kegetiran hidup, malah, ada yang terjerumus dengan masalah kesihatan mental dan despresi akibat pandemik COVID-19 bukan perkara yang boleh dipandang remeh.

Bagi meniupkan semula semangat rakyat Malaysia yang terkesan, penyanyi rap baharu, Roman, 24, yang bernaung di bawah KRU Music tampil dengan single berjudul Rise Up.

Single Rise Up menyaksikan gabungan penyanyi rap berketurunan Cina itu dengan dua penyanyi rap, Tyco dan DJ Fateh.

Roman atau nama sebenarnya, Francis Tan Soon Yap berkata, otaknya ligat memikirkan nasib rakyat Malaysia yang mengalami kegetiran hidup sehingga terperangkap masalah kesihatan mental ketika proses menulis lirik single Rise Up.

“Sejujurnya, mesej yang ingin disampaikan bagi menyeru masyarakat agar bangkit selepas ramai yang ‘jatuh’ rentetan pandemik.

“Oleh itu, saya memilih judul Rise Up yang membawa maksud bangkit.

“Niat saya mahukan mereka yang terkesan mendapat kekuatan berdepan dengan kegetiran hidup,” katanya kepada BH Online.

Roman berharap, peminat muzik yang mendengar Rise Up dapat mendalami mesej yang cuba disampaikannya bersama Tyco dan DJ Fateh.

 

Roman bertuah dapat bekerjasama dengan penggiat muzik berpengalaman seperti Norman. - Foto Ihsan KRU Music

Mengulas sejauh mana keyakinannya karya itu mampu menaikkan semula semangat rakyat Malaysia, Roman menjangkakan pendengar akan rasa terharu kerana dirinya menyebut nama setiap negeri di Malaysia dalam lagu berkenaan.

“Jika diamati pada bahagian korus, saya menyebut semua nama negeri di Malaysia. Tujuannya, saya tidak mahu bersikap pilih kasih, itu keutamaan saya untuk menyebutnya secara terperinci.

“Saya juga tidak mahu menyebut petugas barisan hadapan sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka,” katanya.

Roman berkata, banyak babak menarik dapat disaksikan dalam video muzik Rise Up menerusi saluran YouTube KRU Music.

Katanya, antara sebab single Rise Up cukup unik apabila menyaksikan kolaborasi tiga penyanyi rap.

“Sudah tentu saya berkongsi perasaan gembira dapat bekerjasama dengan penggiat muzik berpengalaman seperti Datuk Norman Abdul Halim.

“Siapa tidak gembira dapat bekerja dengan nama besar seperti Norman. Beliau sangat menyenangkan dan banyak membantu.

“Rakaman lagu dan video muzik menjadi lebih mudah tanpa ada tekanan,” katanya.