By Syafil Syazwan Jefri
BERGELAR usahawan tidak menghalang bakat baharu, Fai Ramli untuk mengorak langkah dan melebarkan impiannya untuk bergelar penyanyi.
Hadir dengan lagu sulung berjudul Cintamu Kekuatanku, Fai atau nama sebenarnya Muhammad Faizal Ramli bersyukur kerana diberi peluang bernaung di bawah label KRU Music.
“Alhamdulillah, saya sebagai pendatang baharu berbesar hati kerana diberi peluang untuk bernaung di bawah syarikat rakaman seperti KRU Music.
“Untuk buah tangan pertama ini, saya perkenalkan diri menerusi lagu berjudul Cintamu Kekuatanku hasil ciptaan komposer, Neo,” katanya.
Berkongsi lanjut mengenai penceritaan lagu nyanyiannya, Fai berkata, ia berkisar mengenai pasangan yang sudah berumah tangga.
“Secara ringkasnya, ia menceritakan mengenai percintaan pasangan suami isteri yang berlandaskan cinta sejati,” katanya.
Bercerita pula mengenai rujukannya dalam muzik, Fai mengakui banyak menerima pengaruh dan merujuk penyanyi dari Indonesia.
“Saya dapati kebanyakan penyanyi dari negara jiran yang popular di persada muzik tempatan mengetengahkan genre balada dan muzik itu kena dengan jiwa saya.
“Antara penyanyi sering saya jadikan rujukan saya adalah Cakra Khan, Judika dan Afgan. Jadi, pengaruh muzik saya kebanyakannya dari Indonesia,” katanya.
Berkongsi mengenai proses rakaman lagu baharunya, Faiz memaklumkan dia mengambil masa satu hari untuk menyiapkan sesi rakaman sepenuhnya.
“Proses rakaman memakan masa selama satu hari saja. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan dipermudahkan. Saya amat bersyukur.
“Apapun yang lebih mencabar bagi saya adalah proses rakaman muzik video lagu ini yang memakan masa dua hari.
“Ia satu pengalaman baharu buat saya apabila perlu berlakon dan karakter yang dibawakan pula adalah sebagai suami orang,” katanya.
Selain itu, Fai juga mengakui dia kini aktif di platform TikTok.
Katanya, platform media sosial itu kini makin menjadi ‘trend’ golongan muda,
“Tak dinafikan, TikTok menjadi salah satu platform untuk saya memperkenalkan diri di samping mengetengahkan bakat dimiliki kepada umum.
“Dari situ, sedikit sebanyak dapat membuatkan orang nampak kewujudan saya dalam industri hiburan tanah air walaupun masih baharu,” katanya.
Sehubungan itu, dii YouTube, video muzik lagu Cintamu Kekuatanku mencatat lebih 11,000 tontonan sejak dilancarkan sebulan lalu.