Dian nyaris terjerat – Harian Metro

By Syafil Syazwan Jefri

BERMULA dengan menyertai program I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVM), bakat nyanyian penyanyi baharu dikenali Dian Hashim mula dilihat dan makin mengorak langkah.

Kini, Dian atau nama sebenarnya Nordiana Shalieza Che Hashim sangat teruja apabila impian untuk bergelar penyanyi menjadi kenyataan selepas dia bernaung di bawah syarikat KRU Music.

 

Tampil dengan lagu sulung berjudul Aku Wanita, Dian yang kini berusia 21 tahun ingin berkongsi peringatan dengan golongan wanita supaya tidak mudah ‘cair’ dengan kata-kata manis seorang lelaki.

“Penghasilan lagu Aku Wanita ini ada cerita yang tersendiri. Pada awal saya kenal dengan komposer Ryan Raihan, dia minta saya kongsi pengalaman dalam bercinta. 

“Sejujurnya, pernah sekali saya hampir terjerat dengan lelaki yang berstatus kekasih orang. Selepas kejadian itu, saya akui berasa sangat trauma untuk bercinta,” katanya.

Bercerita mengenai jalan cerita dalam lagu itu, ia mengisahkan mengenai seorang wanita yang ingin memberi peringatan kepada lelaki.

“Ia mengenai wanita yang ingin mengingatkan golongan lelaki bahawa wanita tidak murah dan semudah yang disangka untuk dijerat.

TRAUMA bercinta selepas hampir berpacaran dengan kekasih orang.  FOTO Aziah Azmee

“Tak semua wanita itu mudah untuk menyerahkan segala-galanya dan ‘cair’ dengan janji manis yang dibuat lelaki,” katanya.

Mengetengahkan rentak jazz dalam lagunya, Dian mengakui genre muzik berkenaan agak mencabar kerana masih tidak banyak diperdengarkan.

“Di Malaysia, genre pop jazz mungkin tidak popular macam muzik lain. Namun, saya ingin tampilkan kelainan dan cuba bereksperimen,” katanya.

Lulusan diploma dalam bidang muzik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini, memberitahu dia ingin menampilkan kelainan terutama melalui identiti vokalnya.

“Suara saya tak sama seperti orang lain dan bersandarkan keyakinan itu, ia mahu dijadikan identiti diri yang membezakan saya dengan penyanyi lain.

“Satu lagi perkara yang saya ingin tonjolkan adalah personaliti dimiliki. Setakat ini, saya perlahan-lahan belajar untuk menampilkan imej wanita bertudung yang sesuai dengan usia,” katanya.

Apapun, yang pasti Dian bertekad akan terus berusaha menempatkan nama dan bakatnya sebaris dengan penyanyi wanita lain dalam bidang nyanyian.