By Faiz Izzat
SELEPAS kembali menyertai kumpulan Mojo, vokalis Aweera menerima kecaman netizen mendakwa kononnya suara penyanyi ini sudah sumbang dan tidak sama seperti di awal pembabitannya dahulu.
Tidak mengendahkan komen netizen itu, Aweera atau nama sebenarnya Nasharul Aweera Norhissam, 32, bagaimanapun menjadikan kecaman itu sebagai satu nasihat berguna buat dirinya.
“Terpulang kepada orang nak kata apa, saya selaku vokalis kekuatan tertumpu pada tekak, kadang kala ada naik turunnya lagipun bukan mudah untuk saya kekalkan cara nyanyian high pitching.
“Saya pun manusia biasa kadang-kadang ada buat silap, tapi insyaAllah akan datang saya lebihkan latihan serta tingkatkan semula stamina.
“Kalau dulu awal 20 tahun mungkin saya akan melenting tapi sekarang tidak lagi lebih kepada nak santai saja, pengalaman juga banyak mengajar saya dalam kerjaya ini dan saya percaya bakat yang Allah pinjamkan,” kata Aweera kepada mStar.
Untuk perkembangan lain, Aweera kini telah kembali bersama kumpulan Mojo setelah sembilan tahun berpisah dan bakal hasilkan album baharu tidak lama lagi.